Latar Belakang
Inisiatif pemeliharaan warisan Sejarah Bukit Besi telah bermula melalui pembinaan Galeri Warisan Bukit Besi di Pejabat Perbandaran KETENGAH Bandar Bukit Besi yang memaparkan pelbagai bahan pameran seperti alat-alat perlombongan, gambar-gambar lama, dan maklumat mengenai sejarah industri bijih besi di kawasan Bukit Besi.
Pada 29 Mei 2016, projek pembangunan muzium sejarah perlombongan bijih besi mula dibina oleh KETENGAH dan dibuka kepada orang awam pada 15 Oktober 2021. Muzium Bukit Besi, dengan keluasan 2.706 Ekar dilengkapi dengan pelbagai fasiliti kemudahan pengunjung serta memaparkan koleksi artifak-artifak sejarah kegemilangan aktiviti perlombongan bijih besi yang terbesar di Asia Tenggara pada abad ke-20 khususnya semasa Era Pendudukan Jepun dan British di Tanah Melayu.
Usaha pengumpulan koleksi artifak di muzium ini adalah melalui dua kaedah iaitu secara pembelian oleh individu dan sumbangan oleh persatuan sejarah, melibatkan koleksi-koleksi dari tahun 1920 hingga 1971.