Seramai 14 orang pelajar yang terdiri daripada 3 pelajar tempatan dan 11 pelajar antarabangsa dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Terengganu Kampus Bukit Besi, Dungun, Terengganu telah berkunjung ke Muzium Bukit Besi pada 13 Mei 2024. Lawatan tersebut telah diketuai oleh Cik Nadiatul Hidayana binti Hasin, selaku pelajar Fakulti Diploma of Industrial Hygiene di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Terengganu, Kampus Bukit Besi, Dungun, Terengganu.
Lawatan ini merupakan inisiatif Kelab Youth of University Re-establish Society (YoURS) yang bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar terhadap nilai sejarah di negeri Terengganu dan juga sebagai pengisian kepada Kelab Youth of University Re-establish Society (YoURS) iaitu program yang dihadiri oleh pelajar pertukaran dari Karpagam Academy of Higher Education (KAHE). Antara aktiviti sepanjang program tersebut adalah lawatan berilmiah bagi menerokai sejarah perlombongan bijih besi Bukit Besi yang dipamerkan di muzium. Selain itu, pihak muzium juga telah memberi peluang kepada para pelajar untuk menonton tayangan video pendek mengenai sejarah aktiviti perlombongan di Bukit Besi.
Semoga program sebegini dapat diteruskan lagi oleh pihak UiTM terutama bagi memberi pengalaman baru kepada pelajar dan memastikan usaha KETENGAH dalam mempromosikan kawasan pelancongan sebagai institusi kebudayaan dan pendidikan untuk memelihara nilai sejarah Bukit Besi dimanfaatkan oleh generasi baharu.